|
|||||
![]() |
| Moto-X Links : HomeNewsTrack LayoutStandingsRegulationsEvent ProgrammeCalendarAccess InfoHotelsConditions of Sale |
Gaban Menang Untuk Buka Peluang Meraih Kejuaraan
11 August 2008, By Sepang International Circuits
Jaguh motocross negara Mohd Al-Amirul Asy-Syahid Mohd Salleh memenangi saingan Pusingan 5 Kejuaraan Motocross Malaysia SIC-AAM 2008 di Litar Motocross Sepang semalam untuk membuka peluang memenangi kejuaraan keseluruhan expert, yang dimenanginya tiga tahun lepas.
“Saya gembira misi saya untuk menang terlaksana kali ini. Ia adalah kemenangan yang amat berharga dan kemenangan yang amat sukar. Walaupun menang, saingan kejuaraan keseluruhan masih berpihak kepada Larry (Blair). Saya tiada pilihan tetapi untuk berusaha memenangi baki kedua-dua pusingan musim ini,” kata penunggang Boon Siew Honda Racing itu. Kejayaan memenangi Pusingan 5 semalam memberikan Gaban 69 mata dan pungutan keseluruhan 323 mata untuk menduduki tempat kedua keseluruhan dalam saingan kelas expert di belakang Blair, yang mempunyai 345 mata. Pelumba Perancis Pierre Yves Catry, juara 2006 dan 2007, di tempat ketiga dengan 285 mata dan adik Gaban – Gabit, atau nama penuhnya Mohd Habibullah Mohd Salleh, menduduki tempat keempat keseluruhan dengan 283 mata. Seperti para pelumba lain, Gaban turut mengadu mengenai keadaan debu dan habuk yang teruk semasa perlumbaan ekoran cuaca panas dan litar yang kering semalam. Namun, penunggang berusia 24 tahun itu menggunakan keadaan berkenaan sebagai strategi perlumbaan untuk menghasilkan kemenangan sulung musim ini.
“Semua orang menggunakan strategi yang sama. Dalam keadaan berdebu dan cukup sukar untuk memintas itu, kelebihan adalah pada mereka yang mendahului perlumbaan. Jadi, saya nekad dan pecut habis-habisan apabila masuk selekoh pertama. Dan, pada Moto 3, saya dapat melonjak di depan dan saya terus pecut habis-habisan,” kata Gaban, yang berterima kasih kepada pasukan Boon Siew Honda Racing atas kemenangan itu. “Mereka melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang untuk menyiapkan motor saya. Prestasi motosikal saya memang ‘top class’ hari ini (semalam). Saya harap motosikal saya terus berprestasi baik dalam baki dua pusingan nanti,” kata Gaban, yang menunggang jentera dua lejang Honda CRF250cc. Saingan Pusingan 6 akan diadakan di Litar Motocross Sepang pada 12 Oktober manakala pusingan akhir akan diadakan pada 16 November di gelanggang yang sama. Mengulas prestasinya semalam, Larry, yang memenangi ketiga-tiga pusingan lepas, berkata bahawa beliau terganggu dengan keadaan trek yang berdebu teruk tetapi mengakui bahawa persembahan beliau agak hambar. “Saya tidak dapat membuat persiapan yang rapi kerana terlalu sibuk dengan kerja. Tunggangan saya kali ini nyata tidak begitu baik. Tetapi, peluang saya untuk muncul juara masih terbuka dan saya akan bekerja lebih keras untuk beraksi dengan lebih cemerlang pada pusingan akan datang,” kata Larry, yang bekerja sebagai jurutera kimpalan kapal di Singapura.
Bagi Gabit pula, sasaran beliau adalah untuk menduduki tiga tempat teratas musim ini dan pelajar Tingkatan Lima Sekolah Sungai Buaya, Selangor itu percaya beliau di landasan yang betul untuk merealisasikan sasaran itu. “Gabit akan gembira kalau dapat ‘top 3’ musim ini. Ini musim pertama Gabit dalam kelas expert dan Gabit sudah belajar banyak musim ini. Tahun depan, baru nak target kejuaraan keseluruhan,” kata Gabit, juara kelas novis musim lepas dan kelas junior pada 2005. Saingan kelas novis dikuasai oleh pelumba muda berusia 16 tahun dari Batu Pahat, Johor, Hazlanshah Mohd Noor, yang memenangi dua daripada tiga moto yang dipertandingkan semalam untuk mengutip 68 mata.
Pelumba lagenda dan juara kebangsaan 10 kali M. Chandran, yang memenangi Pusingan 3 dan 4, terus cemerlang dalam saingan kelas veteran untuk mencatat satu lagi kemenangan pada saingan Pusingan 5 dengan memenangi ketiga-tiga moto. Saingan kelas trailbike menyaksikan dominasi penunggang muda berusia 19 tahun dari Kuala Ketil, Kedah, Ahmad Nasaie Najmi yang nyata dalam kelas yang tersendiri; dengan mencatat kemenangan mudah pada ketiga-tiga moto untuk mengutip 75 mata.
Untuk maklumat lanjut, hubungi Pegawai Akhbar SIC Azhar Ghazali di 019 383 7865
|
|||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| For Ticket Reservation, Please Call +603-8778 2222 OR Visit Our Ticket Agents | ||||||||||||||||||||||||
|
||||||||||||||||||||||||
|
||||
|