|
|||||
![]() |
| Moto-X Links : HomeNewsTrack LayoutStandingsRegulationsEvent ProgrammeCalendarAccess InfoHotelsConditions of Sale |
Pusingan 5 Janjikan Saingan Sengit Di Sepang
08 August 2008, By Sepang International Circuits
Kejuaraan Motocross Malaysia SIC-AAM memasuki saingan Pusingan 5 hujung minggu ini di Litar Motocross Sepang dengan pelumba nombor satu negara, Mohd Al-Amirul Asy-syahid Mohd Salleh mengisytiharkannya pertarungan yang mesti dimenangi untuk menghidupkan peluang beliau untuk menjulang kejuaraan.
“Kalau Larry menang lagi Ahad ini, saya boleh katakan bahawa mahkota kejuaraan sudah pasti milik beliau. Kerana itu, saya dan pelumba lain tiada pilihan lain tetapi kena menang juga Pusingan 5 ini kalau nak hidupkan peluang kami,” kata Gaban, juara keseluruhan musim 2005. “Masalahnya hanyalah Larry terlalu handal. Permulaan beliau cukup pantas. Prestasinya cemerlang dan motosikal beliau memang ‘top’. Jadi, bukan senang nak kalahkan Larry. Saya kena pastikan saya berlumba dengan sempurna – tak ada silap langsung pada ketiga-tiga moto … baru ada peluang,” kata penunggang Boon Siew Honda Racing itu. Selepas empat pusingan, Larry, yang memenangi ketiga-tiga pusingan lepas, kini mengumpulkan 280 mata dengan Gaban di tempat kedua dengan 254 mata. Penunggang Perancis, Pierre Yves Catry, juara keseluruhan 2006 dan 2007, di tempat ketiga dengan 225 mata.
“Larry memang baik. Susah nak lawan; tetapi kita kenalah cuba dan usaha habis-habisan. Tapi, tahun ini, memang dialah yang terbaik di litar,” kata anak muda berusia 17 tahun dari Sungai Buaya, Selangor itu. Mula menyertai kejuaraan pertengahan musim lepas, Larry adalah pelumba yang berbeza musim ini selepas menyertai pasukan Kawasaki CBK Racing Team, yang menyediakan jentera perlumbaan beliau. “Tahun lepas, saya melakukan segala-galanya sendiri. Sekarang, saya hanya perlu memberi fokus kepada perlumbaan. Jentera motosikal disediakan sepenuhnya oleh pasukan Kawasaki CBK Racing dan jentera yang disediakan oleh mereka memang yang terbaik,” kata Larry, yang bekerja di Singapura sebagai jurutera kimpalan kapal. Saingan kelas novis kini menyaksikan saingan sengit tiga penjuru di mana pendahulu kejuaraan Hazlanshah Mohd Noor, yang memiliki 248 mata, dicabar hebat oleh Mohd Faiz Embok dan Wong Chun Voon, yang masing-masing sudah mengumpul 231 dan 218 mata. Penunggang lagenda dan juara kebangsaan 10 kali M. Chandran pula ketinggalan 10 mata di belakang Kan Yin Heng dalam persaingan mengungguli kelas veteran. Chandran, yang menunggang untuk pasukan Boon Siew Honda, memiliki 216 mata berbanding 226 mata yang dikumpul oleh Ying Heng. Chris Sullivan menduduki tempat ketiga dengan 203 mata. Saingan kelas junior adalah pertarungan dua beradik antara Muhamad Firdaus Ishak, yang mendahului kejuaraan dengan 234 mata, dengan adiknya Muhammad Alif, yang ketinggalan hanya empat mata dengan pungutan 230 mata. Selepas empat pusingan, kelas trailbike didahului oleh Sahrinnizam Abu Bakar, yang sudah mengumpul 227 mata. Namun, beliau dicabar hebat oleh Ahmad Nasaie Najmi (255 mata), yang merupakan pelumba paling cemerlang kini dengan kemenangan tiga pusingan berturut-turut. Para pelumba akan menjalani sesi ujian bebas esok (Sabtu, 9 Ogos) sebelum bertarung dalam tiga moto pada hari Ahad (10 Ogos) bagi menentukan juara untuk saingan Pusingan 5. Dua pusingan terakhir akan turut diadakan di Litar Motocross Sepang pada bulan Oktober dan November.
Untuk maklumat lanjut, hubungi Pegawai Akhbar SIC Azhar Ghazali di 019 383 7865
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
| For Ticket Reservation, Please Call +603-8778 2222 OR Visit Our Ticket Agents | ||||||||||||||||||||||||
|
||||||||||||||||||||||||
|
||||
|