|
|||||
![]() |
| Moto-X Links : HomeNewsTrack LayoutStandingsRegulationsEvent ProgrammeCalendarAccess InfoHotelsConditions of Sale |
Yayasan Melaka Taja Pelumba Ke Kejuaraan Motocross Kebangsaan
05 May 2008, By Sepang International Circuit
Yayasan Melaka dan Sahabat Belia Melaka membuka lembaran baru dalam sejarah mereka untuk menceburi sukan motocross tanahair dengan menaja pelumba negeri Mohd Ariff Mohd Ali bersaing pada Kejuaraan Motocross Malaysia SIC-AAM 2008. Dengan penajaan permulaan RM3,000 dan RM1,000 masing-masing dari Yayasan Melaka dan Sahabat Belia Melaka, Mohd Arif, bekas pelumba speedway, akan menyertai saingan Pusingan 2, yang akan diadakan di Litar Motocross Lembah Tempurung di Gopeng, Perak pada 10 dan 11 Mei ini.
“Ini adalah penajaan permulaan dan penajaan tambahan akan dibuat berdasarkan kepada keperluan dan prestasi beliau,” kata Timbalan Pengerusi Yayasan Melaka Datuk Haji Ab Rahaman bin Hj Ab Karim, yang menyampaikan cek berkenaan kepada Mohd Ariff dalam satu majlis di pejabat Yayasan Melaka di Melaka Jumaat lepas. Katanya, keputusan Yayasan untuk membuat penajaan berkenaan adalah berdasarkan kepada prestasi cemerlang pelumba berkenaan pada Kejuaraan Speedway Malaysia tahun lepas serta komitmen beliau untuk terus melangkah maju dalam sukan bermotor. Kata Mohd Ariff, penyertaan beliau pada kejuaraan motocross anjuran Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu adalah untuk mencipta nama di pentas lumba motosikal dan menaikkan nama negeri Melaka. “Sasaran dan impian saya adalah untuk bertanding perlumbaan Speedway di pentas antarabangsa. Namun, ia tidak dapat dilaksanakan pada masa sekarang kerana usaha saya mendapatkan penaja belum berhasil sepenuhnya,” kata Ariff, yang menduduki tempat ketiga keseluruhan pada kejuaraan Speedway Kebangsaan tahun lepas. Selepas berakhir saingan peringkat kebangsaan dan Kejuaraan Speedway Antarabangsa Malaysia di Litar Speedway Bukit Jalil pada November lepas di mana Ariff mendapat tempat keenam keseluruhan, pelumba berkenaan giat berusaha mendapatkan penajaan untuk menyertai perlumbaan Speedway di luar negara, tetapi tidak berhasil. Semangat Ariff untuk bertanding di luar negara dirangsang oleh langkah dan karier yang dilakukan oleh pelumba muda New Zealand dan juara pada kejuaraan antarabangsa di Bukit Jalil, Ricky Wells, yang merantau ke Australia, Amerika Syarikat dan Eropah untuk berlumba dalam kejuaraan Speedway. “Ia tetap menjadi sasaran masa depan saya untuk sukan lumba motosikal ini. Tiada anak Malaysia yang menerokai bidang ini; tetapi saya yakin bahawa saya dan rakan-rakan pelumba Speedway yang lain mampu melakukannya sekira diberi peluang dan kesempatan,” jelas beliau selepas majlis berkenaan. Hadir sama adalah Pengurus Besar Yayasan Melaka Ir Hj Baharam bin Hj Mohamad, Pengarah Sahabat Belia Melaka Nizam Omar, Pegawai Seranta Yayasan Melaka Osman Paiman dan Pegawai Akhbar Litar Antarabangsa Sepang Azhar Ghazali. Berusia 22 tahun dan bekerja sebagai pembantu juruteknik di Pusat Perubatan Mahkota, Melaka, Ariff berkata penyertaan beliau dalam perlumbaan motocross dan trail bike ini juga adalah sebagai persiapan menghadapi kejuaraan Speedway musim ini, yang dijadualkan bermula pada pertengahan tahun. “Mengikut jadual, kejuaraan Speedway musim ini akan bermula pada bulan Jun. Yang membimbangkan saya adalah terlalu banyak ketidakpastian tentang kejuaraan ini. Tetapi, saya tidak boleh terus menunggu. Saya perlu berlumba secara kompetitif bagi memastikan tahap kecergasan dan skil saya terus di tahap yang tinggi. “Atas nasihat dan saranan rakan-rakan, saya turun ke Litar Motocross Sepang bulan lepas menyaksikan perlumbaan dan selepas perbincangan dengan para pegawai SIC, saya yakin penyertaan dalam kejuaraan ‘motocross dan trail bike ini adalah langkah yang paling wajar,” kata Ariff, yang turut bekerja sebagai mekanik sambilan. Dipertandingkan sebagai sebahagian daripada Kejuaraan Motocross Malaysia AAM-SIC, kelas ‘trail bike’ mempertandingkan jentera-jentera ‘production’ dengan modifikasi yang terhad sekali gus memastikan kos penyertaan yang tidak terlalu tinggi. Kejuaraan Motocross Malaysia AAM-SIC 2008 akan berlangsung dalam lapan pusingan dengan saingan Pusingan 2 akan diadakan di Litar Motocross Lembah Tempurung di Gopeng, Perak pada 10 dan 11 Mei ini. “Insyaallah, saya akan menyertai saingan di Gopeng itu nanti dan juga perlumbaan-perlumbaan seterusnya sepanjang kejuaraan ini. Saya cuma mengharapkan usaha saya mendapatkan lebih banyak penajaan untuk menampung kos perlumbaan tahun ini berhasil. Saya yakin untuk menang bukan satu masalah besar”. “Saya mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Melaka kerana menyokong usaha dan impian saya untuk menjadi pelumba berkelas dunia. Saya berjanji akan menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin untuk menaikkan nama Melaka di sukan pemotoran negara,” tambah Ariff. Selain kategori trail bike dan motocross untuk kelas expert, novis, veteran dan junior, Kejuaraan Motocross Malaysia AAM-SIC turut mempertandingkan kategori cubcross dan mini bike untuk pelumba-pelumba remaja.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Azhar Ghazali di 019-383 7865.
|
| For Ticket Reservation, Please Call +603-8778 2222 OR Visit Our Ticket Agents | |||||||||||||||
|
|
||||
|