Cara Buat Ikan Bakar Dan Air Asam Paling Mudah

Cara Buat Ikan Bakar Dan Air Asam Paling Mudah

Kali ni Che Nom nak share resepi Ikan bakar air asam yang sedap sangat dan mudah untuk disediakan. Che Nom akan tunjuk cara sediakan pes sambal berempah untuk ikan bakar, dan kemudian resepiair asam yang pedas, pekat, masam yang kena sangat lah kalau kita makan dengan ikan bakar tu. Dalam video ni, Che Nom tunjuk cara masak ikan bakar guna kuali atau grill pan, sebab lebih mudah dan cepat nak sediakan , rasa pun tak kurang sedapnya. Pes sambal berempah pulak boleh disediakan awal-awal, disimpan dalam peti sejuk ataupun freezer. Bila nak makan,keluarkan dan masak saja dengan ikan pilihan anda. Untuk sesiapa yang sibuk, boleh sediakan pes awal-awal lagi dan simpan.

Bahan-bahan

Bahan-bahan untuk ikan bakar:

4 ekor ikan kembung (saiz besar) atau apa jenis ikan pilihan anda

daun pisang

sedikit minyak (untuk grill)

Bahan-bahan untuk pes ikan bakar

3 biji bawang merah

2 ulas bawang putih

1 ketul kunyit hidup

1 inci halia

1 batang serai

1 inci lengkuas

3 sudu besar cili kisar

1 sudu besar serbuk kari ikan

2 sudu besar air asam jawa

Bahan-bahan untuk air asam

1 mangkuk air asam jawa

10 biji cili padi

1 biji cili merah besar

1 inci belacan

1 biji bawang besar

2 biji tomato

gula dan garam secukup rasa

sedikit perahan jus limau nipis

Cara Penyediaan

Cara sediakan pes ikan bakar:

  • Kisar halus bawang merah, bawang putih, kunyit hidup, halia, lengkuas , serai , cili kisar,  serbuk kari dan sedikit air asam jawa.
  • Panaskan minyak dan tumis bahan yang sudah kisar halus sehingga bahan masak dan pecah minyak
  • Tambahkan gula dan sedikit air jika bahan terlalu pekat.
  • Lalu sambung masak dalam anggaran 5 minitt

Cara bakar ikan :

  • Salut dan lumur ikan yang telah dikelar dengan pes ikan yang sudah dimasak tadi
  • Balut setiap ekor ikan dengan daun pisang atau daun kunyit agar rasa daun memberikan aroma yang sedap pada ikan semasa membakar.
  • Panaskan sedikt minyak dan panggang ikan dengan api yang sederhana.
  • Panggang ikan sehingga ia masak.

Cara sediakan air asam 

    1. Hiris nipis 2 biji bawang besar.
    2. Hiris kasar cili padi, cili merah besar dan potong kiub tomato.
    3. Gaulkan air asam jawa bersama belacan yang dibakar, cili padi, gula dan garam secukup rasa.
    4. Masukkan semua bahan kedalam 1 mangkuk kosong lalu gaulkan kesemuanya sehingga sebati.
    5. Perah limau nipis kedalam air asam jawa dan tambah gula mahupun garam untuk dapatkan rasa yang lebih sedap.
    6. Kemudian, air asam jawa siap untuk dihidang bersama ikan bakar.

Pesanan

  • Jika menggunakan asam jawa asli, rendamkan dengan air panas dahulu dan ramas sehingga menjadi pes yang pekat.
  • Jika tiada daun pisang, boleh digantikan dengan daun kunyit.Daun ini berfungsi untuk melindungi ikan daripada hangus semasa dibakar namun jika tidak ada daun , boleh gunakan aluminium foil .
  • Gunakan limau nipis untuk dapatkan rasa yang lebih enak.
  • Pes ikan juga boleh digunakan untuk membakar ayam , udang , sotong , daging , kambing dan lain- lain mengikut selera masing- masing.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *