Pintu pagar semua balai polis ditutup selepas pukul 10 malam

Pintu pagar semua balai polis ditutup selepas pukul 10 malam

 

KUALA LUMPUR – Pintu pagar balai polis di seluruh negara akan ditutup selepas pukul 10 malam sebagai langkah mengetatkan kawalan keselamatan di premis itu susulan kejadian di Balai Polis Ulu Tiram, Johor baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu diambil bagi mengimbangi keperluan masyarakat dan menjaga keselamatan anggota yang bertugas.

“Susulan kejadian di Balai Polis Ulu Tiram, tindakan segera PDRM (Polis Diraja Malaysia) memperketatkan prosedur operasi standard di semua kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), balai dan premis utama polis di bawah arahan pentadbiran kepada membetulkan beberapa arahan.

“Susulan isu sama, perintah pentadbiran tetap Ketua Polis Negara turut termasuk supaya balai polis ditutup selepas pukul 10 malam.

“Kita kena seimbangkan balai sebagai tempat orang mengadu dan pada masa yang sama balai polis juga menjadi sasaran. Jadi, kita kena seimbangkan kedua-duanya,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Richard Riot (GPS – Serian) berhubung langkah memperketatkan kawalan keselamatan di balai polis di Malaysia susulan insiden di Balai Polis Ulu Tiram, Johor baru-baru ini.

Kejadian berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Mei lalu menyaksikan dua anggota polis maut selepas diserang lelaki bertopeng bersenjatakan parang, manakala suspek turut maut.

Serangan itu turut mengakibatkan seorang lagi anggota polis cedera ditembak di bahu.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berhubung langkah-langkah yang diambil bagi menghadapi ancaman pengganas, Saifuddin Nasution berkata, pasukan keselamatan sentiasa dalam keadaan bersiap sedia.

Katanya, polis akan sentiasa mengambil langkah dan tindakan sewajarnya bagi memastikan ancaman atau idea berkaitan pengganas tidak terus menular di negara ini.

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *